3.22.2011

Tahun Baru 2011 di Gunung Nuang

PENGENALAN
Gunung Nuang merupakan gunung tertinggi di Negeri Selangor iaitu 1493 meter / 4898 kaki dari aras laut. Terletak di daerah Hulu Langat, gunung ini antara yang menjadi pilihan para pendaki melakukan latihan pendakian disebabkan terdapat pelbagai laluan trek yang mencabar. Keindahan flora dan fauna di Hutan Lipur Gunung Nuang menjadi daya tarikan di samping air sungainya yang mengalir segar. Pemandangan Genting Highland dan kawasan Kuala Lumpur boleh dilihat dengan jelas jika cuaca baik.
Secara kebiasaannya, pendakian ke puncak memakan masa dari 8 hingga ke 9 jam. Namun begitu, bagi pendaki yang lebih gemarkan aktiviti santai, terdapat dua kem di sepanjang laluan ke puncak boleh didirikan tapak khemah. Kem tersebut ialah Kem Lolo dan Kem Pacat. Kedua-dua kem ini mempunyai sumber air yang membolehkan para pendaki mendirikan khemah sebelum meneruskan sesi pendakian pada hari berikutnya.


OBJEKTIF
Sehubungan dengan itu, bersempena tahun baru 2011, Persatuan Kebajikan, Rekreasi dan Sosial (WARIS) Jabatan Muzium Malaysia (JMM) telah mengadakan satu program pendakian ke Gunung Nuang, Selangor pada 1 hingga 2 Januari 2011. Seramai 10 orang peserta dari JMM dan 8 orang dari pelbagai agensi lain turut serta menjayakan program tersebut. Sebuah pacuan 4 roda dan kenderaan Jabatan digunakan bagi tujuan membawa para peserta dan peralatan pendakian ke kaki gunung. Peserta JMM yang terlibat ialah :-


1. En.Khairul Nizam bin Mohd Aris ( Ketua )
2. En.Norhisham bin Ahmad
3. En.Yusri bin Jaafar
4. En.Ramazuan bin Mohd Salleh
5. En.Mohd Haziq bin Deraman
6. En.Mohd Syukri bin Zakaria
7. Cik Sharifah Lok Lok binti Syed Idrus
8. Cik Siti Rokiah binti Ibrahim
9. En.Zulkifli bin Abdul Rahman ( Pemandu )
10. En.Ludin bin Hassan ( Pemandu )


Program pendakian kali ini bertujuan memberi peluang kepada kakitangan JMM yang meminati aktiviti lasak meneruskan kesinambungan pendakian yang telah dijalankan sepanjang tahun 2010 lalu. Di samping itu, ianya memupuk sifat bekerjasama dan membina semangat berpasukan serta setiakawan dalam mengharungi cabaran. Selain itu, ia juga merupakan salah satu aktiviti sihat dari segi mental dan fizikal. Hasil dari perkembangan ini diharap dapat diaplikasikan dalam menjalankan tugas seharian di pejabat kelak.


PERJALANAN
Hari Pertama
1 Januari 2011, 8.30 pagi, kesemua peserta berkumpul di perkarangan JMM bagi mendengar taklimat ringkas Ketua Program mengenai perjalanan dan pendakian yang akan diadakan. Segala peralatan, bahan makanan serta ubat-ubatan diperiksa agar semuanya mencukupi. Agihan barangan tersebut dibuat kepada semua peserta bagi memastikan ianya seimbang dibawa bersama. Dengan menaiki kenderaan Jabatan, perjalanan dimulakan terus ke daerah Hulu Langat, Selangor. Perjalanan mengambil masa hampir 3 jam untuk sampai di kaki gunung.


Konvoi peserta berhenti di Balai Polis Batu 9 untuk memberi salinan nama peserta yang mendaki gunung. Ini bertujuan untuk makluman pihak polis bagi bertindak sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Perjalanan diteruskan ke Hutan Rekreasi Gunung Nuang. Setibanya di kawasan tersebut, peserta dikehendaki membayar permit masuk sebanyak RM 1.00 seorang. Sejurus selepas itu, peserta membuat pemeriksaan terakhir bekalan dan peralatan, senaman ringan dan bacaan doa. Perjalanan dari pintu masuk ke Kem Lolo, tempat perkhemahan mengambil masa hampir 3 jam.


Hari Kedua
2 Januari 2011, 6.30 pagi, semua peserta bersiap sedia untuk menawan puncak Nuang. Perjalanan diteruskan dengan melalui pelbagai cabaran dan rintangan trek yang menguji ketahanan fizikal dan mental peserta. Terdapat juga pendaki lain yang melalui trek yang sama untuk sampai ke puncak. Pendakian ke puncak mengambil masa hampir 6 jam.


Pada jam 12 tengahari, kesemua peserta Berjaya menawan puncak Gunung Nuang 1493 meter dengan jayanya.




















No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...